Jumaat, 6 September 2013

Bercerita tentang SAYONARA CINTA



Di ruang ini, izinkan aku bercerita sedikit tentang novel aku yang keempat dengan Buku Prima yang bertajuk SAYONARA CINTA.
 

SINOPSIS:

KADANGKALA musibah hadir dalam bentuk sebuah takdir yang tak tertolak tibanya. Begitulah dengan takdir yang membelit diri Ezra. Dia memiliki pakej yang cukup sempurna sebagai seorang wanita, dengan dibekalkan rupa paras yang bisa saja mencairkan hati lelaki. Pun begitu, di sebalik kecantikan paras wajahnya tiada siapa yang menduga bahawa dia sebenarnya adalah seorang bekas pesakit mental yang terpaksa bergantung kepada bekalan ubat-ubatan untuk kekal waras.

 

Kondisi penyakitnya yang agak jelik lagi pelik itu membuatkan dia lebih suka mengasingkan diri daripada orang ramai. Pun begitu, hatinya yang sunyi akhirnya disapa juga oleh kehadiran seorang jejaka kacak, Adam Haikal.

 

Namun, bahagia bagaikan terlalu sukar digapai. Di saat-saat Ezra hendak mengecap kebahagiaannya, muncul Tengku Sufian yang mahu memilikinya semula. Ini membuatkan Ezra rasa tertekan, terancam dan meletakkan dirinya dalam persimpangan dilema.

 

Haruskah dia kembali semula ke pangkuan suaminya yang tidak pernah dicintai? Sedangkah di hatinya tetap abadi dengan cinta Adam Haikal? Dan, bagaimana mungkin dia mahu merealisasikan cintanya pada jejaka itu, sedangkan dirinya ‘cacat’ dengan anugerah berbentuk sebuah takdir?

 

Bagaimana dapat idea nak menulis novel ini?

 

Sebenarnya aku dapat idea nak menulis novel ini setelah terbaca sebuah berita yang dipaparkan di akhbar tentang seorang lelaki yang ditemui terpinga-pinga di tepi jalanTanpa diketahui sesiapa, lelaki itu telah terlibat dalam kemalangan kereta yang mana menyaksikan isteri dan anaknya juga terlibat sama. Malangnya, lelaki itu ‘hilang ingatan sementara’ kesan daripada kemalangan tersebut. Beberapa lama kemudian, keretanya yang terlibat dalam kemalangan itu ditemui di tali air dengan mayat isteri serta anaknya masih berada di dalam kereta tu dalam keadaan hampir mereput. Sayang sekali aku tak simpan keratan akhbar ni, dan aku menulis ni pun mengikut daya ingatan aku aje(kalau tak berapa tepat... sorry arr...)

 

Sila baca PROLOG Sayonara Cinta ni...

 

TOYOTA CORONA merah keluaran tahun 1982 itu kelihatan masih gagah meredah jalan raya di kawasan yang dikelilingi hutan, berjurang serta berbukit-bukit. Encik Kamal yang mengendalikan stereng perlu berhati-hati kerana keadaan jalan yang agak sempit dan di sesetengah kawasan terdapat jurang yang agak curam dan bahaya. Namun, di kawasan yang agak terpencil begitu kenderaan tidaklah terlalu banyak untuk dirisaukan.

Pun begitu, dia masih perlu berhati-hati. Apatah lagi turut bersamanya, isterinya, Puan Zanariah serta anak bongsu mereka, Nur Ain. Sebagai orang yang mengendalikan stereng, keselamatan penumpang adalah terletak di tangannya.

“Meriah sungguh majlis perkahwinan Azilah tadi kan, bang?” getus Puan Zanariah yang duduk di sisinya.

Encik Kamal mengilas ke arah isterinya. Dia tersenyum dan angguk. “Hmm, adatlah tu, Zana. Majlis kahwin anak bongsu sama jugak macam majlis kahwin anak sulung, selalunya memang meriah.”

Majlis perkahwinan anak bongsu adik iparnya itulah yang membawa mereka bertiga mengembara ke Perak. Membuatkan dia yang sudah lama tidak melenjan Toyota Corona tuanya dalam perjalanan yang agak jauh itu, terpaksa juga berbuat demikian. Di dalam usia yang semakin meningkat begitu, sebenarnya dia malas memandu ke lokasi yang jauh. Selain cepat letih, masalah penglihatan juga menjadi penghalang. Dia yang mengidap rabun jauh, terpaksa bergantung kepada cermin mata sepanjang perjalanan. Dan, kebergantungan kepada cermin mata dalam jangkamasa yang lama selalu membuatkan kepalanya pening. Seperti sekarang.

Kata-kata suaminya itu membuatkan Puan Zanariah menoleh ke arah anak gadisnya yang menyandar di belakang. Kebetulan pula Nur Ain turut memandang ke arahnya. Dan, dua pasang mata berlaga.

“Kenapa ibu pandang Ain macam tu?” soal Nur Ain yang naik pelik melihatkan cara Puan Zanariah merenungnya.

Puan Zanariah hanya ketawa. “Takkan nak pandang anak sendiri pun tak boleh? Jual mahal nampak?”

“Bukan tak boleh, bu. Tapi cara ibu pandang Ain tu, lain macam sikitlah!” Nur Ain menjawab pantas.

“Ibu Ain tu bukannya apa. Dia cuma terfikirkan macam manalah meriahnya majlis kahwin anak bongsunya nanti.” Encik Kamal mencelah walau dalam hatinya tersendat risau kerana hujan rintik-rintik yang tiba-tiba sahaja turun, semakin kasar dan melebat. Langit yang tadinya cerah, berubah menjadi legam. Awan tebal bergumpal-gumpal di angkasa, seolah-olah sudah tidak tertahan lagi hendak mencurahkan kandungannya ke bumi.

Puan Zanariah ketawa. Nur Ain mengelekek. Kedua-dua orang wanita itu ternyata belum dapat menyelami kerisauan hati Encik Kamal. 

“Ye ke, ibu? Tapi macam mana Ain nak kahwin sedangkan boyfriend pun tak ada?”

“Hmm... kalau asyik memilih, jual mahal, sampai kucing bertanduk pun takkan laku!” usik Puan Zanariah.

“Apa ibu cakap? Ain memilih? Jual mahal? Eh, ibu, orang perempuan memang kena memilih bila masuk bab mencari jodoh ni. Takkan nak main rembat aje! Macam kata penerbit filem Andartu Terlampau tu, sekarang ni ramai lelaki tak ada kualiti! Takkan ibu nak tengok Ain tersalah pilih bakal suami?”

Encik Kamal tergelak kecil mendengar kepetahan anak bongsunya itu membidas cakap isterinya. Nur Ain memang begitu. Sejak kecil lagi mulutnya petah bercakap. Bertanya itu dan ini sampaikan mereka sekeluarga tidak terlarat hendak melayan bualnya.

“Saya cukup setuju dengan cakap anak awak tu, Zana. Semua pasangan yang hendak berkahwin impikan alam perkahwinan yang kekal dan bahagia. Oleh itu, kalau hendak memilih pasangan kenalah berhati-hati sebab sekarang ni saya tengok isu kahwin cerai bagaikan dah jadi trend masyarakat kita. Institusi perkahwinan tidak lagi dihormati, tak macam zaman emak ayah kita dulu, walaupun dinikahkan tanpa cinta tapi ikatan perkahwinan kekal sampai ke akhir hayat.

Apabila berlaku salah faham sikit aje dah sibuk nak bercerai. Malah, ada yang lebih teruk lagi sampaikan ada yang sanggup naik tangan ke tubuh isteri. Awak tentu tak nak perkara begitu terjadi pada anak kesayangan awak kan?”

Puan Zanariah terdiam. Dia mengakui kebenaran kata-kata suaminya seketika tadi. Sebagai ibu, dia sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Apatah lagi dia dan suaminya tidak dikurniakan anak yang ramai, hanya tiga orang sahaja. Kebahagiaan anak-anak adalah merupakan kebahagiaannya juga.  

“Lagipun bu, macam manalah Ain nak kahwin sedangkan kak long dan angah pun belum bertemu jodoh lagi? Takkan Ain nak melangkah bendul pulak? Betul tak, ayah?” tukas Nur Ain.

“Hmm... betul!” Encik Kamal tergelak kecil. Dia memaut stereng dengan lebih berhati-hati kerana kondisi jalan raya yang agak licin. Dia semakin gelisah kerana melihat pokok-pokok di kiri kanan jalan mula bergoyang hebat ditala angin yang agak kencang.

“Hati-hati, bang. Hujan makin lebat nampaknya, ni.” Puan Zanariah sudah mula menunjukkan kerisauannya.

“Saya taulah!” getus Encik Kamal. Wiper dibiarkan terpasang ligat untuk menyisihkan hujan ke tepi bagi memudahkan dia melihat jalanraya di hadapannya.

“Tadi cuaca bukan main terang lagi. Tiba-tiba aje hujan turun mencurah-curah.” Bebel isterinya.

“Asyik mengomen aje kerja awak. Tadi bising panas. Sekarang dah turun hujan, bising jugak!” Encik Kamal sempat membidas.

Nur Ain yang duduk di belakang hanya mendiamkan diri. Dia tidak menghiraukan ayah dan ibunya yang asyik bertingkah bicara. Hakikatnya, dia sendiri kurang senang dengan perubahan cuaca yang berlaku secara tiba-tiba itu.

“Perlahanlah sikit, bang. Jalan licin tu!”

“Yelah... saya tau! Saya bawak 40 km sejam aje ni.”

“Tak nak berhenti kat tepi jalan ke, bang? Tunggu sampai hujan reda sikit.” Isterinya mencadangkan.

“Kita berhenti kat depan sikitlah, tempat yang selamat sikit. Awak tak seram ke berhenti kat tengah-tengah hutan ni? Buatnya ada pokok tumbang atau dahan sekah nanti, lagi kita susah.”

“Isy,” Puan Zanariah mengurut dadanya. Matanya ditujahkan ke arah jalanraya yang berbalau-balau di hadapan. Kata-kata suaminya termakan juga di fikirannya. Ada juga bahaya yang menanti kalau mereka berhenti di bahu jalan. Manalah tahu kalau-kalau ada pokok yang tumbang atau sekah lalu menimpa kereta mereka. Lalu apa akan terjadi?

Dia membelingas pula ke arah tanah berbukit di sebelah kirinya. Kerisauan semakin menerbak ke ruang hati. Bagaimana kalau tiba-tiba berlaku tanah runtuh lalu menghempap kereta tua yang mereka sekeluarga naiki?

Ya, ALLAH... KAU jauhkanlah aku dan keluargaku daripada malapetaka, doanya dalam hati.

Tiba-tiba, muncul kelibat satu lembaga terhoyong-hayang melintas betul-betul di hadapan kereta mereka. Encik Kamal terkejut lalu segera memijak brek. Brek yang dipijak mengejut di atas jalanraya yang licin membuatkan Toyota Corona merah mendecit kuat, tersasar ke laluan kanan lalu menghala ke tebing bukit.

Puan Zanariah dan Nur Ain menjerit. Langsing!  (Tamat Prolog 1)

 

Selain daripada tu, kenapa aku nak menulis Sayonara Cinta?

 

Beberapa ketika dahulu, kita sering disogokkan dengan berita tentang pesakit mental/jiwa. Aku cukup terkesan tatkala membaca sebuah berita di akhbar bagaimana seorang suami(pesakit mental) tega membunuh isterinya sendiri dan mencederakan anak perempuannya. Sedih betul aku bila baca berita tu! Bayangkan azab yang ditanggung si isteri didera dan ditetak suami sendiri sampai mati.

Aku juga terbaca yang si isteri ni pernah minta cerai daripada suaminya kerana tak tertahan dengan sikap panas baran suaminya yang sakit mental tu, tapi Jabatan Agama seolah-olah sengaja melambatkan proses perceraian tu. Dengan alasan... bersabar, suami sedang menderita sakit. Kesudahannya?

Aku bukannya skeptikal terhadap orang yang menderita sakit begini, tapi dalam Sayonara Cinta aku ingin memaparkan tentang risiko yang dihadapi oleh individu yang pasangannya menderita sakit mental. Untuk menyiapkan novel ni aku terpaksa membuat sedikit rujukan tentang penyakit ni di akhbar-akhbar dan juga internet.

Sakit mental(skizofrenia) adalah penyakit keturunan. Walaupun Allah yang menentukan  segalanya, tetapi mengikut kajian perubatan kalau dalam sesebuah keluarga itu, ibu atau ayahnya mengidap sakit mental kemunginan besar zuriatnya juga akan mengidap penyakit yang serupa.

Lebih-lebih lagi, pengidap sakit mental seperti juga pengidap penyakit darah tinggi yang terpaksa bergantung kepada bekalan ubat-ubatan seumur hidup(kecuali Allah memang nak sembuhkan si pesakit). Macam berita dalam akhbar di mana si suami sanggup membunuh isterinya tu, dikatakan yang dia berada dalam keadaan tertekan setelah kehabisan ubatnya.

Dalam Sayonara Cinta ni, aku memaparkan watak Ezra, seorang gadis muda lagi cantik tapi dibelenggu penyakit skizofrenia. Ezra terpaksa sentiasa mengambil ubat sehinggakan dia jadi bosan dengan rutin hariannya itu.

Penyakitnya kembali menyerang setelah dia sengaja mengabaikan pengambilan ubat-ubatannya. Dia juga tertekan kerana perhatian suaminya telah beralih ke arah ‘madunya’ Julia, yang sedang hamil. Sebenarnya, Ezra sendiri yang meminang Julia untuk suaminya, dengan harapan agar suaminya dapat memiliki zuriat yang sihat dengan Julia. Ezra enggan mengandung kerana khuatir anak yang dikandungnya kelak akan mewarisi penyakit yang dideritainya. Sadiskan? Hmmm... sedih jugaklah dengan nasib si Ezra ni! (Kalau nak baca kesudahannya; dapatkanlah novel SAYONARA CINTA, terbitan Grup Buku Karangkraf (Buku Prima) ini ya.

Novel ni jugak berjaya menarik minat producer dan kalau tak ada aral melintang pukang, akan ditayangkan di RTM1(tarikh tak pasti lagi).

Cara nak mendapatkan novel ni: http://mall.karangkraf.com  

 

 

 

  

 

 

 

 

2 ulasan: