Selasa, 29 November 2016

TIDAKKAH KAU KASIHAN

                                    CERPEN: TIDAKKAH KAU KASIHAN
    PENULIS: SITI ROZILAH

SIAPA kata dia tidak faham? Siapa kata dia masih lagi belum mengerti? Siapa kata? Walaupun dia masih lagi seorang budak, tapi dia sudah lama faham, sudah lama juga mengerti. Dia faham dan mengerti bahawa hidupnya tidak seperti budak-budak lain seusia dengannya. Yang dimanjakan oleh papa dan mama mereka. Yang sentiasa merengek-rengek supaya dibawa papa dan mama bersiar-siar ke taman permainan ataupun ke restoran makanan segera setiap kali tibanya hujung minggu. Yang akan merengek-rengek supaya dibelikan patung beruang, permainan legos ataupun baju baru. Yang sentiasa saja tahu bilakah masanya papa dan mama bercuti supaya mereka sekeluarga boleh berseronok-seronok di tepi pantai, di taman tema atau ke Cameron Highlands. Atau, ke Genting.
Dia mengerti bahawa dia tidak berpeluang untuk menikmati hidup sepertimana yang dinikmati oleh kanak-kanak itu. Yang bertuah kerana memiliki sebuah keluarga sempurna. Yang bernasib baik kerana ada papa dan mama yang sentiasa memanja, memberikan kasih sayang serta berkhidmat untuk mereka.
Sedangkan dia hanyalah anak gelandangan. Yang hidupnya merempat, berpindah-randah tak ubahnya seperti puak Nomad di Sahara. Yang menumpang tidur di kaki-kali lima kedai atau bangunan beralaskan sleeping bag usang, berbumbungkan langit malam di sebuah kota kaya bernama Kuala Lumpur.
Harfiahnya dia juga seperti budak-budak itu, mempunyai keinginan untuk memeluk patung beruang ataupun memiliki permainan legos tapi dia tidak bernasib baik seperti mereka. Pernah sekali dia merengek-rengek di depan ibunya kerana ingin memiliki sebuah permainan robot ketika mereka melintasi sebuah kedai yang menjual bermacam-macam permainan tapi taktiknya itu hanya menaikkan darah ibunya. Pipinya yang masih kecil itu ditempeleng beberapa kali hingga menyebabkan gigi susunya yang sudah longgar tercabut lalu tercampak ke tanah. Melihatkan gigi yang tercampak dan mulutnya yang meleleh dengan darah itu barulah ibunya berhenti menempeleng pipinya. Insiden yang teruk itu berupa pengajaran pada dirinya. Bahawa dia tidak boleh meminta apa-apapun walau dia berkeinginan untuk memilikinya. Bahawa dia patut bersyukur dengan apa yang dihulurkan oleh ibunya. Setakat ini dia tidak pernah dibiarkan tidur dengan perut yang lapar. Setakat ini dia tidak pernah berkeliaran di kota kaya itu dengan tubuh tanpa seurat benang. Dan, dia harus bersyukur untuk itu!
Dia juga tahu bahawa ada ramai jutawan dan hartawan di kota kaya itu. Mobil-mobil mewah jenama dalam mahupun luar negara yang hilir mudik sebaik-baik saja dia celik mata setiap pagi itulah buktinya. Bangunan-bangunan pencakar langit yang menjulang tinggi, yang berdiri megah di sekelilingnya itulah buktinya – bahawa Kuala Lumpur sebenarnya kota kaya. Kuala Lumpur milik orang-orang kaya.
Sedangkan dia, ibunya serta jiran tetangganya yang hanya dilihat wajah-wajah lesu mereka ketika senja mula berlabuh itu mungkin ibarat lumpur saja di mata mereka. Yang masam lekit, menjijikkan. Yang selayaknya dipinggirkan. Yang lebih baik tiada daripada ada!
Malam itu seperti juga malam tadi dan beberapa malam lalu, dia bersama ibunya menghampar sleeping bag di depan sebuah restoran yang sudah tutup operasi sejak pukul 6.30 petang tadi. Badannya segar setelah mandi dan menukar pakaian di sebuah tandas awam. Perutnya juga sudah kenyang. Kini, tibalah masanya untuk melelapkan mata sementara menunggu pagi tiba.
Dia mendengar saja ibunya bercerita dengan kawan baiknya, juga gelandangan seperti mereka. Masing-masing menguntai cerita tentang pengalaman yang singgah dalam hidup mereka untuk hari itu.
“Tadi masa aku berpeluang serve pelanggan, aku bertentang mata dengan seorang balak handsome ni. Kalaulah balak tu jadi boyfriend aku alangkah bahagianya. Kalau dia datang lagi esok, aku nak kenyit-kenyit mata dengan dia.” Ibunya yang duduk berlunjur kaki sambil menopang dagu itu menganyam angan-angan yang cukup indah. Seulas senyum terlarik di bibir ibunya.
Tapi kata-kata ibunya itu disambut oleh gelak ketawa kawan baiknya.
“Jangan nak beranganlah, Intan. Nanti kau jugak yang kecewa. Nak ke dia orang tu dengan kau? Sedar sikit siapa diri kau tu, Intan. Orang macam kita ni umpama langau aje di mata dia orang tu. Dia orang tu takkan pandang orang macam kita nipun.”
Bukan kata-kata semangat yang keluar dari mulut kawan baik ibunya itu sebaliknya bibir yang terjuih-juih serta seraut ungkapan yang pedih. Tapi apa yang nak dipedihkan dengan ungkapan itu? Inilah kenyataan yang perlu mereka hadapi. Mereka bukannya sesiapapun di kota kaya itu. Mereka umpama seekor langau yang seharusnya dihalau pergi.
“Kau jangan gelakkan aku, Bedah. Esok... kalau aku berpeluang layan customer tu lagi aku akan pastikan...”
“Dahlah tu Intan. Aku dah mengantuk ni. Aku tidur dululah ya. Malam esok ajelah kau sambung cerita kau tentang balak handsome tu. Tupun kalau kau berpeluang layan customer lagi. Entah-entah esok kau terperuk aje kat dapur, cuci pinggan mangkuk kotor tu!” Begitulah kata-kata seorang kawan yang tega memperlekehkan impian kawan baiknya sendiri.
Di bawah limpahan cahaya neon itu, dia nampak wajah ibunya diulit sedih. Tapi dia tidak berasa apa-apa. Tiada rasa kasihan terhadap ibunya yang diketawakan kerana menyimpan impian yang muluk-muluk itu. Kerana hakikatnya, langau seperti mereka seharusnya tidak menyimpan apa-apa impian pun. Kerana tega menyimpan impian hanya menambah beban kecewa di sudut hati.
Dapat terus bernafas di tengah-tengah kota kaya inipun sudah cukup baik. Selayaknya seekor langau yang harus bersyukur kerana masih mampu terbang bebas.
“Apa kau pandang-pandang?” Sergahan ibunya itu membuatkan dia segera berpaling ke arah lain. Sudah tentu dia tidak mahu menaikkan darah ibunya. Kalau darah ibunya naik maka nahaslah dia.
Dia faham, tekanan hidup sehari-harianlah yang bikin ibunya bersikap kasar dengannya. Bukan ibu sengaja hendak marah-marah ataupun memukulnya. Sebaliknya keadaanlah yang telah memukul mereka dua beranak terlebih dahulu. Kalau ibu tidak sayangkan dirinya, masakan dia masih boleh bernafas sehingga kini? Kalau ibu bencikan dirinya, masakan setiap hari ibu akan mempastikan dia tidur dengan perut yang kenyang?

GAMBAR HIASAN: SIAPAKAH YANG MELAHIRKAN KITA? DILAHIRKAN DI MANA? SESUNGGUHNYA PERJALANAN HIDUP KIRA BERBEZA. ADA YANG DILAHIRKAN DALAM KELUARGA YANG PENUH KEMEWAHAN, CUKUP SEGALANYA. SEMENTARA ADA PULA YANG TIDAK BERNASIB BAIK, DILAHIRKAN UNTUK HIDUP MELARAT. 


Mungkin ibu sengaja mendidiknya secara kasar supaya dia tidak membesar sebagai seorang yang manja. Kerana ‘seekor langau’ yang manja mustahil boleh hidup di kota kaya itu, mustahil!
Dia masih ingat lagi beberapa bulan lalu ketika dia dan ibunya masih ada tempat tinggal yang selesa. Sebuah hostel yang harus dibayar sewanya mengikut kiraan hari menyewa. Waktu itu mereka tidak perlu menjadi seperti kaum Nomad yang terpaksa berpindah-randah seperti sekarang. Tapi kerana sewa yang sering tidak berbayar, mereka akhirnya dihalau keluar oleh pemilik hostel itu.
Beberapa hari lalu, ibunya mengambil keputusan untuk tinggal di kaki lima restoran tempat dia bekerja sebagai pencuci pinggan. Dia hanya mengikut saja arah yang dituju ibunya. Dia juga tidak tahu sampai bilakah mereka akan tidur di kaki lima restoran itu. Tapi dia pernah dengar ibunya berkata yang majikannya hendak mencari sebuah rumah yang sesuai untuk mereka tinggal. Dan itu adalah antara impian ibunya. Sementara menunggu rumah yang sesuai, dia dan ibunya perlu terus tidur di kaki lima restoran itu untuk semalam lagi.
Tiba-tiba dia terlihat kelibat seorang lelaki India yang berambut kusut masai serta berpakaian cobak-cabik sedang sibuk menyelongkar tong sampah. Selalu dia nampak lelaki itu berkeliaran berhampiran dengan tempat tidurnya. Walaupun dia gerun dengan penampilan lelaki itu tapi dia pasti dirinya dan ibunya tidak akan diapa-apakan. Lelaki itu sama juga seperti mereka, langau yang leka dengan dunianya sendiri. Dia nampak lelaki itu mengeluarkan seketul tulang ayam dan masih ada cebis-cebis daging lalu menyuakan ke mulutnya tanpa ada rasa jijik.     
Dia menarik nafas panjang. Sekurang-kurangnya, dia dan ibunya tidak perlu menyeluk tong sampah mencari sisa-sisa makanan yang terbuang untuk mengisi perut yang kelaparan. Akhirnya dia terlena juga. Angin malam terus bertiup resah membawa sama seribu satu macam cerita.

WALAU pagi masih awal, mobil-mobil sudah mula menghidupkan suasana. Dalam sekejapan waktu lagi kota kaya itu akan meriah dengan kereta, bas serta motosikal. Tidak ketinggalan juga dengan bunyi LRT yang bergemuruh. Ianya adalah muzik yang dinanti-nantikan warga kota kaya.
“Intan!” Satu suara garau kedengaran memanggil nama ibunya sebaik saja pintu belakang restoran terkuak.
“Oiii!”
“Kau dah bangun ke?”
Ibunya menarik zip sleeping bagnya lalu terus duduk. Sempat dia menggeliat malas.
“Sekarang dah!”
“Kau dengan anak kau boleh gunakan bilik air kat sini.” Itulah pelawaan pemilik restoran yang bernama Encik Ali kepada dia dan ibunya awal pagi itu. Sudah tentulah pelawaan itu disambut ibunya dengan senang hati.
Seusai membersihkan diri, dia duduk mengadap sebuah meja kecil yang terletak di dapur restoran itu. Dia lihat saja ibunya membantu Mak Cik Maimon, ketua tukang masak di situ.
“Kau tak kesian ke dengan Azeem, Intan? Budak-budak lain sebaya dia semuanya dah pergi ke sekolah. Macam mana masa depan Azeem nanti kalau tak tahu membaca dan menulis? Takkan kau nak lihat anak kau tinggal kat tepi jalan seumur hidup?” Dalam sibuk-sibuk memasak, Mak Cik Maimon sempat berceramah kepada ibunya.
“Nak buat macam mana, Kak Mon? Saya bukannya ada duit nak hantar dia ke sekolah. Ah, tak apalah dulu. Bila umur dia dah tujuh tahun nanti, saya hantarlah dia ke sekolah. Buat masa ni tak payahlah dulu.” Ibunya menjawab.
“Hmm... suka hati engkaulah. Azeem tu anak engkau. Aku nak menolong pun, tak mampu.”
Dia nampak ibunya memandang lurus ke wajahnya. Agak lama. Dia tidak tahu apa yang sedang berada dalam fikiran ibunya ketika itu.
“Aku tengok Azeem tu pandai cari duit walaupun umurnya masih rendah. Anak-anak aku kat rumah tu, hmmmph... kasut sekolah pun kadang-kadang malas dia orang nak cuci selagi mulut aku ni tak membebel. Kau beruntung, Intan, dapat anak macam dia.” Panjang pula omelan Mak Cik Maimon awal pagi itu.
Matanya bersabung lagi dengan mata ibunya.
“Apa kau pandang-pandang?” sergahan ibunya menyapa ke telinga. Dia tunduk merenung meja.
“Yang kau tengking dia tak pasal-pasal tu, kenapa? Bagilah dia sarapan dulu. Ni hah, bagi ayam goreng dan nasi lemak tu kat anak kau.” Kata Mak Cik Maimon.
Pagi itu, dia bersarapan nasi lemak, sambal bilis yang enak, seketul ayam goreng serta segelas air Milo. Dia melangkah keluar dari perut restoran itu dengan perut yang kenyang.
Sepasang kaki kecilnya melangkah pantas ke tempat yang letaknya tidak berapa jauh dari restoran ibunya bekerja. Tempat itu masih lengang. Dia menunggu ketibaan lelaki yang dipanggilnya Pak Cik Amid itu dengan sabar. Tidak lama kemudian, dia nampak Pak Cik Amid melangkah menghampirinya.
Pak Cik Amid adalah seorang tukang kasut. Kerjanya adalah membaiki dan menampal kasut-kasut rosak yang dihantar padanya. Sementara itu, dia pula diberikan tugas untuk menggilap kasut-kasut para pelanggan. Kata Pak Cik Amid, pelanggannya sekarang tidaklah seramai dahulu lagi.
“Azeem, kalau kau rajin cubalah cari pelanggan kat depan bangunan pejabat tu. Kat situ ramai eksekutif. Mereka ni nak kasut mereka tu berkilat selalu.” Cadang Pak Cik Amid apabila melihat tiada seorang pun yang tampil untuk menggilap kasut mereka hari itu.
Azeem menurut saja. Dia letakkan alat-alat menggilap kasutnya di depan bangunan itu. Dia berjaya menggilap kasut seorang lelaki muda sebelum dihalau pergi oleh pengawal keselamatan bangunan itu. Dia kemudiannya menuju pula ke sebuah restoran dan curi-curi duduk di tepi kaki lima restoran dengan peralatan menggilap kasut terletak di depannya, berharap agar ada rezekinya di situ.
Restoran itu meriah dengan pelanggan yang keluar masuk tapi tiada seorang pun yang sudi singgah untuk digilap kasutnya.
“Dia tu penulis hebat. Dah tentulah kaya orangnya, hasil jualan buku-bukunya aje tak habis makan. Untungkan kalau berbakat macam dia tu!” Kata-kata seorang perempuan yang berdiri agak hampir dengannya membuatkan dia tertoleh-toleh.
Dia ingin benar melihat orang yang sedang diperkatakan perempuan itu. Penulis kaya lagi hebat yang hidup dengan hasil jualan buku-bukunya. Wajarkah ‘langau’ sepertinya memasang angan-angan untuk jadi seperti orang yang sedang diperkatakan perempuan itu?
“Yup, betul kata kau tu! Buku-bukunya banyak tentang motivasi, humanity... kemanusiaan. Dia seorang penulis yang sangat-sangat berjaya serta disegani. Cemburunya aku.” Sampuk temannya pula.
Matanya dihalakan dengan agak lama ke arah manusia hebat yang diperkatakan oleh perempuan-perempuan tadi. Wajahnya nampak lembut, bisik hatinya. Dan, dia orang kaya. Pasti dia tak kisah menghulur beberapa ringgit untukku. Tak salah mencuba, gesa hatinya lagi.
Dia membawa peralatan menggilap kasutnya menghampiri lelaki yang dimaksudkan. Sebaik-baik saja dia hampir, mata lelaki itu merenung tepat ke wajahnya.
“Nak apa?”
“Err... encik nak kilatkan kasut tak?”
“Hey budak, kau tak nampak ke kasut aku ni dah cukup berkilat?” kata penulis hebat itu. “Eh, yang kau ni merayau ke sana sini ni, kau tak sekolah ke?”
Dia menggeleng. “Betul ke encik tak nak kilat kasut?”
“Budak, kau tak faham ke apa aku cakap tadi, hah? Kasut aku ni, mahal tau. Aku takut nanti bukan kau kilatkan kasut aku ni, tapi calarkan kasut aku pulak.” Kemudian penulis buku-buku kemanusiaan itu memandang wajah kawannya seolah-olah hendak meneruskan perbualan mereka.
“Tolonglah, encik. Saya orang miskin. Mintak sedekah, encik.” Dia mencuba nasib lagi.
“La... tadi datang nak gilap kasut, sekarang nak mintak sedekah pulak, dah? Hey budak, aku beri sedekah kat masjid, kat surau... kat rumah anak-anak yatim aje, tau tak? Tak boleh suka-suka hati hulur sedekah pada orang macam kau ni. Entah-entah kau ni dipaksa sindiket merayau-rayau untuk mintak sedekah.” Penulis itu menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tak... aku tak mahu terlibat! Dah... pergi! Pergi!!”
Dia tahu tiada gunanya lagi terus merayu-rayu kepada orang itu kerana dia tidak akan mendapat satu sen pun daripadanya. Dia terus menghala pulang, mencari ibunya.
“Azeem!”
Dia terpinga-pinga apabila tubuhnya yang tidak pernah dipeluk itu tiba-tiba dirangkul dengan erat oleh ibunya. Apa halnya ni? Matanya beralih pula ke arah Mak Cik Maimon dan Abang Jaafar yang turut memandangnya.
“Kau jangan pergi jauh-jauh. Duduk aje kat belakang ni.” Perintah ibunya itu tidak boleh diengkari. Kalau dia engkar, nahaslah jawabnya.
“Kau jangan pergi mana-mana tau, Azeem. Bahaya! Sekarang ni ramai orang sakit jiwa. Malam tadi ada seorang budak perempuan dah dilarikan masa emaknya pergi ke tandas. Putus lehernya dikerjakan orang tu nun kat tepi sungai sana tu!” Mak Cik Maimon yang becok itu beria-iya bercerita sambil jari telunjuknya dituding-tudingkan ke satu arah.
Dia hanya mengangguk bagai burung belatuk. Kesempatan itu digunakannya untuk mengintai kelakuan pelanggan-pelanggan restoran. Matanya tertancap pada seorang lelaki yang sedang meladeni dua orang anaknya. Amat mesra sekali. Ralit dia merenung mereka.
Ayah! Ayah!!
Panggilan ‘ayah’ yang terkeluar dari bibir anak-anak lelaki itu sesekali hinggap ke telinganya. Dia tahu yang dia mempunyai seorang ayah. Tanpa ayah masakan mungkin dia berada di dunia ini. Tapi seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat wajah ayahnya. Dia hanya mengenali ibunya.
“Encik Ali dah janji nak carikan rumah sewa untuk saya!” suara ibunya memancung perhatian.
“Aku sedang berusaha cari rumah yang murah untuk kaulah ni. Kau boleh sabar sikit tak?” Kasar suara Encik Ali. “Kalau bini aku tu tak garang macam singa, bila-bila aje aku boleh bawak kau tinggal kat rumah aku.”
“Eh, miang!” Ibunya menjerit.
“Encik Ali penakut bini!” Mak Cik Maimon menyampuk.
“Mana ada saya ni penakut bini, Kak Mon? Saya sayang bini aje.” Encik Ali membela dirinya. “Intan, kau bagi aku masa sehari dua lagi, ya.” Kata Encik Ali seolah-olah berjanji.

MALAM yang meresahkan menyapa lagi.
Ketika berada di dalam sleeping bagnya, dia terdengar ibu asyik bercerita dengan kawan baiknya tentang peristiwa pembunuhan ngeri yang berlaku malam tadi. Budak perempuan itu dan ibunya adalah juga manusia gelandangan seperti mereka.
“Aku betul-betul berharap supaya cepatlah Encik Ali sewakan rumah yang sesuai untuk kami. Aku dah tak larat hidup berpindah-randah macam ni lagi.” Lirih suara ibunya.
“Kalau majikan kau dah sediakan rumah nanti, macam mana dengan aku ni, Intan? Kau nak tinggalkan aku sorang-sorang kat sini ke?”
“Ala Bedah, kau janganlah risau. Nanti aku cuba pujuk Encik Ali supaya benarkan kau tinggal sekali kat rumah tu. Takkan aku nak tinggalkan kawan baik aku pulak.” Ibunya mengukir janji.
Ketika matanya hampir terlena itulah tiba-tiba suasana berubah menjadi kecoh. Jeritan ‘Lari! Lari!!!” mengganggu keharmonian malam di perkampungan gelandangan itu.
“Azeem, bangun! Bangun!!!” Ibunya bertempik.
Dalam keadaan yang terpisat-pisat, masih mamai dan tidak pasti apa yang sedang berlaku, dia mencapai tangan ibunya. Bukan dia dan ibunya saja tapi semua jiran-jirannya turut melarikan diri bagai tidak cukup tanah. Lintang-pukang, simpang-perenang.
“Berhenti! Berhenti!!!” tempik manusia yang mengejar mereka.
Mendengarkan tempikan di belakang mereka itu, langkah ibunya semakin luas. Dek usianya yang masih kecil, masakan mungkin dia menyaingi langkah ibunya. Dia rasa tangannya telah mula sakit disentap-sentap ibunya yang berlari laju. Akhirnya dia tidak mampu menanggung kesakitan itu lagi lalu melepaskan tangan ibunya dan jatuh tertiarap ke tanah.
Ibunya yang sudah terlajak ke depan, terhenti seketika lalu berpaling ke arahnya. Mereka bersabung pandang untuk beberapa saat. Kemudian, dia lihat ibunya meneruskan langkah yang tadinya terhenti. Dia hanya memandang ibunya berlari pergi... semakin jauh meninggalkan dirinya.
Tiba-tiba dia rasa sebak. Yang paling sedih ialah apabila melihat orang yang kita sayang melangkah pergi, melebarkan jarak dengan kita hingga akhirnya hanya meninggalkan ruang kosong serta kesepian.
“Kat sini ada seorang budak!” satu suara garau kedengaran begitu hampir dengannya. “Jangan nangis! Kami datang ni nak selamatkan kau.”
Bukan dia saja yang gagal melarikan diri dari operasi yang dilakukan oleh anggota polis, RELA serta orang Jabatan Kebajikan malam itu. Ramai lagi yang senasib dengannya. Lelaki India yang kusut masai, yang mencari makanan dengan menyelongkar tong sampah itu juga turut tertangkap. Mereka dikumpulkan dan diangkut dengan beberapa buah van ke satu destinasi yang tidak diketahui.
Dia pasrah dengan nasibnya. Sepanjang perjalanan, dia hanya membayangkan renungan ibunya sejurus sebelum menghambur meninggalkannya di lorong yang kelam itu tadi.

DIA ditempatkan di sebuah pusat perlindungan sementara. Di situ, segala keperluannya disediakan. Dia mendapat pakaian yang bersih serta tempat tidur yang sempurna. Dia tidak lagi perlu hidup berpindah-randah seperti puak Nomad. Makanan yang enak juga turut disajikan bila sampai waktunya. Tapi dia tetap tidak gembira.
Pagi itu, ramai orang datang melawatnya. Mereka mengambil gambar serta bertanyakan bermacam-macam soalan padanya. Tiba-tiba matanya tertancap pada seorang lelaki yang dikenalinya. Ya, penulis buku-buku kemanusiaan itu!
“Anak ni namanya Muhammad Azeem bin Abdullah. Usianya lima tahun lima bulan. Ibunya sempat lari masa kami buat operasi tu. Sampai sekarang kami masih belum berjaya menjejakinya.” Terang pegawai kebajikan itu.
Penulis yang kepalanya hampir botak mungkin kerana terlalu banyak memikirkan tentang konflik kemanusiaan dan bagaimanakah cara-cara untuk mengatasinya itu hanya merenungnya sambil terangguk-angguk.
Dia pasti penulis berprinsip yang enggan menghulur walau satu senpun ke arahnya itu masih mengingatinya.
“Ayahnya?”
Pegawai itu menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Pihak kami tak dapat sebarang maklumat tentang ayahnya selagi ibunya masih belum ditemui.” Kata-kata pegawai itu membuatkan dia tunduk merenung lantai.
Dia terbayang lagi pada renungan yang dilemparkan ibunya sebelum menghambur meninggalkannya sendirian di lorong kelam itu beberapa malam lalu. Mampukah dia menatap lagi renungannya itu? Atau, apakah itu renungan terakhir daripada ibunya untuk dia?
Keesokan harinya pula, dia menerima kunjungan seorang tetamu yang dikenalinya. Orang itu tak lain dan tak bukan adalah Pak Cik Amid, si tukang kasut. Mereka tidak banyak berbual. Lebih senang untuk berdiam diri dan mengunyah saja keperitan hidup di saat-saat begitu.
“Baguslah kau dah diselamatkan orang kebajikan tu, Azeem. Dulu hidup kau merempat, tak tentu hala. Tidur pun kat kaki lima bangunan. Sekarang kau dah ada tempat tinggal yang selesa. Makan pakai kau pun terjaga. Tak lama lagi pasti kau akan dapat ke sekolah.” Begitulah kata-kata Pak Cik Amid ke arahnya seolah-olah hendak memujuk hatinya.
Dan, sebelum berlalu meninggalkannya, Pak Cik Amid siap menghulur permainan robot untuknya. Dia menyambut pemberian itu. Tapi entah kenapa hatinya tetap tidak gembira.
Dia menanti. Dan terus menanti. Penantiannya semakin berpanjangan.
Apa yang tidak dapat dilupakan tentang ibunya adalah renungannya yang dalam lagi panjang di malam yang kelam itu. Renungan ibunya itulah yang menemani penantiannya. Tapi lama kelamaan, baik wajah mahupun renungan itu sudah mula kabur dari ruang ingatannya.
Akhirnya, ketika dia menutup mata pada suatu malam lebih kurang dua tahun selepas itu, wajah ibunya yang sudah semakin kabur dari ruang ingatan tiba-tiba menjelma dengan begitu jelas sekali. Ibunya berdiri sambil merenungnya dengan agak lama. Kemudian ibunya berpaling lalu melangkah pergi, melebarkan jarak dengannya. Ibunya menjauh... dan semakin menjauh.
Ibunya pergi dan tidak muncul-muncul lagi.

PEREMPUAN bertubuh kurus bernama Intan Amanina itu mengalirkan air matanya di depan sebuah pusara. Memang dia bersalah kerana telah meninggalkanAzeem yang terjatuh ketika mereka sedang lari lintang pukang malam itu. Tapi dia sendiri panik. Dia tidak tahu apa yang akan terjadi sekiranya dia turut tertangkap sama. Apakah dia akan dipenjarakan kelak? Ketika itu, dia hanya memikirkan keselamatan dirinya saja.
Dia tidak tahu ke mana mereka telah membawa Azeem serta gelandangan lain yang turut tertangkap malam itu. Dia takut hendak tampil bertanyakan ke manakah anaknya dibawa pergi. Kemudian, setelah dia berfikir dengan agak panjang, dia rasa lebih baik Azeem ditinggalkan saja dengan mereka. Pasti pegawai-pegawai itu tidak akan mengabaikan kebajikan anaknya. Kan namanya pun pegawai kebajikan?
Dia meneruskan hidupnya yang kucar-kacir itu. Suatu hari dia telah diperkenalkan dengan seorang perempuan Melayu yang dipanggilnya Kak Mar. Kak Mar cukup baik padanya. Kak Mar bukan saja telah menabur kasih sayang dan menyediakan tempat tinggal yang selesa tapi turut memberinya wang belanja. Kak Mar telah berjanji untuk mencarikan kerja untuknya. Kata Kak Mar, kerjanya senang saja tapi bergaji lumayan. Dia juga berpeluang melancong ke luar negara.
Suatu hari Kak Mar membawanya bertemu dengan seorang lelaki. Kata Kak Mar, lelaki itu kekasihnya. Dia pelik juga apabila melihat perempuan Melayu seperti Kak Mar menjalinkan hubungan dengan pemuda Negro.
“Ni kerja pertama kau, Intan. Kau kena lakukan dengan baik. Lepas aje kerja kau selesai nanti, poket kau akan kembung. Nanti bolehlah kau cari anak kau.” Begitulah kata-kata semangat yang dititipkan Kak Mar padanya.
Kak Mar dan teman lelakinya menerangkan dengan terperinci apa yang perlu dilakukannya ketika sampai di Tokyo nanti. Segala kelengkapannya untuk ke negara Matahari terbit itu disediakan Kak Mar. Dia hanya perlu menarik bagasinya saja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun.
Selepas melepasi pemeriksaan pihak imigresen, dia perlu daftar masuk ke hotel Toyoko Inn Narita Kuko yang terletak lebih kurang dua kilometer dari lapangan terbang dan akan ada orang yang menelefonnya dari situ. Dia hanya perlu menyerahkan barang yang dipinta orang itu dan kerjanya di Jepun telah selesai. Dia boleh menikmati percutiannya sebelum terbang pulang semula ke Malaysia. Yup, kerjanya kedengaran semudah ABC!
Dalam berdebar-debar untuk melaksanakan misi pertamanya, dia juga teruja kerana dapat melancong ke negara Matahari Terbit itu. Alangkah bagus kalau Azeem turut berada bersamanya di dalam pesawat? Bolehlah mereka menikmati keindahan kembang sakura yang menjadi lambang kebanggan orang-orang Jepun itu.
Tak apa Azeem, ibu akan ambil kau semula dari jagaan mereka setelah kerja ibu di Jepun ini selesai nanti. Selepas itu, kita tak akan berpisah lagi. Ibu janji dengan kau, Azeem. Ibu janji!
Malang sekali, dia hanya sempat menjejakkan kakinya di Lapangan Terbang Antrabangsa Narita saja. Dia tidak daftar masuk ke Toyoko Inn Narita Kuko. Malah, dia langsung tidak berkesempatan melihat kembang sakura walau telah sampai ke negara Jepun. Dia ditahan oleh pihak berkuasa kerana berkelakuan agak pelik sewaktu melalui pintu pemeriksaan. Apa yang dikhuatiri mereka itu benar belaka. Setelah diperiksa, terdapat beberapa bungkusan yang penuh berisi pil-pil khayal tersembunyi di bahagian bawah salah sebuah begnya.
Dia menerangkan kepada pegawai-pegawai yang menahannya itu bahawa dia langsung tidak tahu menahu tentang pil-pil khayal yang mengekorinya hingga ke Jepun itu. Yang dia tahu ialah dia hanya membawa beberapa pasang pakaian yang diperbuat daripada sutera sahaja. Tapi siapakah yang hendak mempercayai ceritanya ketika itu? Dia mengubah taktiknya. Dia menangis dan meraung-raung pula, mengharap simpati mereka. Tapi siapakah yang termakan simpati dengan nasibnya yang malang itu?
Di saat-saat begitu, tiada sesiapapun yang kasihan. Dia adalah langau yang jijik lagi kotor. Siapakah yang hendak mengasihani seekor langau? Dia membayangkan wajah Azeem, langau kecil yang ditinggalkannya di lorong yang kelam pada suatu malam ketika pegawai-pegawai kebajikan menyerbu perkampungan gelandangan yang terletak di kota kaya dahulu.
Air matanya berderai. Bukan dek impian untuk melihat kembang sakura yang tidak tercapai, bukan. Tapi dia menangis kerana impiannya untuk bersatu semula dengan Azeem kini telah hancur berkecai. Selama dua tahun dia merengkuk dalam sebuah penjara di Negara Matahari Terbit itu.
Ketika dibebaskan, orang pertama yang dicarinya ialah majikan lamanya iaitu Encik Ali. Dari situ dia bertemu semula dengan Pak Cik Amid. Daripada mulut Pak Cik Amid tahulah dia bahawa ketika ditempatkan di sebuah rumah anak-anak yatim itu, Azeem telah diserang sejenis virus yang tidak dikenalpasti. Tiga hari dia diserang demam panas dan cirit-birit. Walaupun telah dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan tapi takdir Allah mengatasi segalanya. Azeem meninggal dunia tanpa sempat bertemu mata dengan ibunya semula.
Inikah kesudahan nasib dua ekor langau? Yang dinafikan hak untuk menikmati bahagia? Yang sentiasa dihimpit dek keadaan?
Intan Amanina mengelap air matanya. Tiada gunanya menangis di depan kubur Azeem. Kerana kalau dia menangis pun, Azeem bukannya boleh bangkit semula. Kepulangannya adalah kepulangan yang terlewat. Tapi dia juga lega kerana sekurang-kurangnya Azeem tidak perlu menderita lagi. Sekurang-kurangnya Azeem sudahpun damai di sana.
Dia melangkah meninggalkan pusara yang terletak di pinggir kota kaya itu sejurus sebelum rembang tengah hari. Dia tahu sebaik saja dia melangkah keluar dari pintu pagar tanah perkuburan itu nanti, dia tidak akan menapak lagi ke situ. Dia akan meninggalkan Azeem untuk selama-lamanya di pusara yang kaku sebagaimana dia pernah meninggalkan Azeem di lorong yang kelam itu beberapa tahun lalu! – TAMAT-

* makluman: CERPEN INI SUDAH TERSIAR DI MAJALAH DEWAN SASTERA, NOV 2015, DENGAN TAJUK: LANGAU KOTA KAYA. 
 

  

    








    




     

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum akak...
    Sedihnya baca cerpen ni. Menarik dan mengesankan. Kisah masyarakat sebegini tak banyak dipaparkan. Teruskan berkarya akak. Tahniah! Memang wajar disiarkan, ini realiti kehidupan. Ada moral kepada masyarakat.

    BalasPadam