Di ruang ini, izinkan aku bercerita sedikit tentang novel aku yang keempat
dengan Buku Prima yang bertajuk SAYONARA CINTA.
SINOPSIS:
KADANGKALA
musibah hadir dalam bentuk sebuah takdir yang tak tertolak tibanya. Begitulah
dengan takdir yang membelit diri Ezra. Dia memiliki pakej yang cukup sempurna
sebagai seorang wanita, dengan dibekalkan rupa paras yang bisa saja mencairkan
hati lelaki. Pun begitu, di sebalik kecantikan paras wajahnya tiada siapa yang
menduga bahawa dia sebenarnya adalah seorang bekas pesakit mental yang terpaksa
bergantung kepada bekalan ubat-ubatan untuk kekal waras.
Kondisi
penyakitnya yang agak jelik lagi pelik itu membuatkan dia lebih suka
mengasingkan diri daripada orang ramai. Pun begitu, hatinya yang sunyi akhirnya
disapa juga oleh kehadiran seorang jejaka kacak, Adam Haikal.
Namun, bahagia
bagaikan terlalu sukar digapai. Di saat-saat Ezra hendak mengecap
kebahagiaannya, muncul Tengku Sufian yang mahu memilikinya semula. Ini
membuatkan Ezra rasa tertekan, terancam dan meletakkan dirinya dalam
persimpangan dilema.
Haruskah dia
kembali semula ke pangkuan suaminya yang tidak pernah dicintai? Sedangkah di
hatinya tetap abadi dengan cinta Adam Haikal? Dan, bagaimana mungkin dia mahu
merealisasikan cintanya pada jejaka itu, sedangkan dirinya ‘cacat’ dengan
anugerah berbentuk sebuah takdir?
Bagaimana dapat idea nak menulis novel ini?
Sebenarnya aku
dapat idea nak menulis novel ini setelah terbaca sebuah berita yang dipaparkan
di akhbar tentang seorang lelaki yang ditemui terpinga-pinga di tepi jalanTanpa
diketahui sesiapa, lelaki itu telah terlibat dalam kemalangan kereta yang mana
menyaksikan isteri dan anaknya juga terlibat sama. Malangnya, lelaki itu
‘hilang ingatan sementara’ kesan daripada kemalangan tersebut. Beberapa lama kemudian,
keretanya yang terlibat dalam kemalangan itu ditemui di tali air dengan mayat
isteri serta anaknya masih berada di dalam kereta tu dalam keadaan hampir
mereput. Sayang sekali aku tak simpan keratan akhbar ni, dan aku menulis ni pun
mengikut daya ingatan aku aje(kalau tak berapa tepat... sorry arr...)
Sila baca PROLOG Sayonara Cinta ni...
TOYOTA CORONA merah keluaran tahun 1982 itu kelihatan
masih gagah meredah jalan raya di kawasan yang dikelilingi hutan, berjurang
serta berbukit-bukit. Encik Kamal yang mengendalikan stereng perlu berhati-hati
kerana keadaan jalan yang agak sempit dan di sesetengah kawasan terdapat jurang
yang agak curam dan bahaya. Namun, di kawasan yang agak terpencil begitu
kenderaan tidaklah terlalu banyak untuk dirisaukan.
Pun begitu, dia masih perlu berhati-hati. Apatah lagi
turut bersamanya, isterinya, Puan Zanariah serta anak bongsu mereka, Nur Ain.
Sebagai orang yang mengendalikan stereng, keselamatan penumpang adalah terletak
di tangannya.
“Meriah sungguh majlis perkahwinan Azilah tadi kan,
bang?” getus Puan Zanariah yang duduk di sisinya.
Encik Kamal mengilas ke arah isterinya. Dia tersenyum dan
angguk. “Hmm, adatlah tu, Zana. Majlis kahwin anak bongsu sama jugak macam
majlis kahwin anak sulung, selalunya memang meriah.”
Majlis perkahwinan anak bongsu adik iparnya itulah yang
membawa mereka bertiga mengembara ke Perak. Membuatkan dia yang sudah lama
tidak melenjan Toyota Corona tuanya dalam perjalanan yang agak jauh itu,
terpaksa juga berbuat demikian. Di dalam usia yang semakin meningkat begitu,
sebenarnya dia malas memandu ke lokasi yang jauh. Selain cepat letih, masalah
penglihatan juga menjadi penghalang. Dia yang mengidap rabun jauh, terpaksa
bergantung kepada cermin mata sepanjang perjalanan. Dan, kebergantungan kepada
cermin mata dalam jangkamasa yang lama selalu membuatkan kepalanya pening.
Seperti sekarang.
Kata-kata suaminya itu membuatkan Puan Zanariah menoleh
ke arah anak gadisnya yang menyandar di belakang. Kebetulan pula Nur Ain turut
memandang ke arahnya. Dan, dua pasang mata berlaga.
“Kenapa ibu pandang Ain macam tu?” soal Nur Ain yang naik
pelik melihatkan cara Puan Zanariah merenungnya.
Puan Zanariah hanya ketawa. “Takkan nak pandang anak
sendiri pun tak boleh? Jual mahal nampak?”
“Bukan tak boleh, bu. Tapi cara ibu pandang Ain tu, lain
macam sikitlah!” Nur Ain menjawab pantas.
“Ibu Ain tu bukannya apa. Dia cuma terfikirkan macam
manalah meriahnya majlis kahwin anak bongsunya nanti.” Encik Kamal mencelah
walau dalam hatinya tersendat risau kerana hujan rintik-rintik yang tiba-tiba
sahaja turun, semakin kasar dan melebat. Langit yang tadinya cerah, berubah
menjadi legam. Awan tebal bergumpal-gumpal di angkasa, seolah-olah sudah tidak
tertahan lagi hendak mencurahkan kandungannya ke bumi.
Puan Zanariah ketawa. Nur Ain mengelekek. Kedua-dua orang
wanita itu ternyata belum dapat menyelami kerisauan hati Encik Kamal.
“Ye ke, ibu? Tapi macam mana Ain nak kahwin sedangkan boyfriend pun tak ada?”
“Hmm... kalau asyik memilih, jual mahal, sampai kucing
bertanduk pun takkan laku!” usik Puan Zanariah.
“Apa ibu cakap? Ain memilih? Jual mahal? Eh, ibu, orang
perempuan memang kena memilih bila masuk bab mencari jodoh ni. Takkan nak main
rembat aje! Macam kata penerbit filem Andartu Terlampau tu, sekarang ni ramai
lelaki tak ada kualiti! Takkan ibu nak tengok Ain tersalah pilih bakal suami?”
Encik Kamal tergelak kecil mendengar kepetahan anak
bongsunya itu membidas cakap isterinya. Nur Ain memang begitu. Sejak kecil lagi
mulutnya petah bercakap. Bertanya itu dan ini sampaikan mereka sekeluarga tidak
terlarat hendak melayan bualnya.
“Saya cukup setuju dengan cakap anak awak tu, Zana. Semua
pasangan yang hendak berkahwin impikan alam perkahwinan yang kekal dan bahagia.
Oleh itu, kalau hendak memilih pasangan kenalah berhati-hati sebab sekarang ni
saya tengok isu kahwin cerai bagaikan dah jadi trend masyarakat kita. Institusi perkahwinan tidak lagi dihormati,
tak macam zaman emak ayah kita dulu, walaupun dinikahkan tanpa cinta tapi
ikatan perkahwinan kekal sampai ke akhir hayat.
Apabila berlaku salah faham sikit aje dah sibuk nak
bercerai. Malah, ada yang lebih teruk lagi sampaikan ada yang sanggup naik
tangan ke tubuh isteri. Awak tentu tak nak perkara begitu terjadi pada anak
kesayangan awak kan?”
Puan Zanariah terdiam. Dia mengakui kebenaran kata-kata
suaminya seketika tadi. Sebagai ibu, dia sentiasa mengharapkan yang terbaik
untuk anak-anaknya. Apatah lagi dia dan suaminya tidak dikurniakan anak yang
ramai, hanya tiga orang sahaja. Kebahagiaan anak-anak adalah merupakan
kebahagiaannya juga.
“Lagipun bu, macam manalah Ain nak kahwin sedangkan kak long
dan angah pun belum bertemu jodoh lagi? Takkan Ain nak melangkah bendul pulak?
Betul tak, ayah?” tukas Nur Ain.
“Hmm... betul!” Encik Kamal tergelak kecil. Dia memaut
stereng dengan lebih berhati-hati kerana kondisi jalan raya yang agak licin.
Dia semakin gelisah kerana melihat pokok-pokok di kiri kanan jalan mula
bergoyang hebat ditala angin yang agak kencang.
“Hati-hati, bang. Hujan makin lebat nampaknya, ni.” Puan
Zanariah sudah mula menunjukkan kerisauannya.
“Saya taulah!” getus Encik Kamal. Wiper dibiarkan terpasang ligat untuk menyisihkan hujan ke tepi
bagi memudahkan dia melihat jalanraya di hadapannya.
“Tadi cuaca bukan main terang lagi. Tiba-tiba aje hujan
turun mencurah-curah.” Bebel isterinya.
“Asyik mengomen aje kerja awak. Tadi bising panas.
Sekarang dah turun hujan, bising jugak!” Encik Kamal sempat membidas.
Nur Ain yang duduk di belakang hanya mendiamkan diri. Dia
tidak menghiraukan ayah dan ibunya yang asyik bertingkah bicara. Hakikatnya,
dia sendiri kurang senang dengan perubahan cuaca yang berlaku secara tiba-tiba
itu.
“Perlahanlah sikit, bang. Jalan licin tu!”
“Yelah... saya tau! Saya bawak 40 km sejam aje ni.”
“Tak nak berhenti kat tepi jalan ke, bang? Tunggu sampai
hujan reda sikit.” Isterinya mencadangkan.
“Kita berhenti kat depan sikitlah, tempat yang selamat
sikit. Awak tak seram ke berhenti kat tengah-tengah hutan ni? Buatnya ada pokok
tumbang atau dahan sekah nanti, lagi kita susah.”
“Isy,” Puan Zanariah mengurut dadanya. Matanya ditujahkan
ke arah jalanraya yang berbalau-balau di hadapan. Kata-kata suaminya termakan
juga di fikirannya. Ada juga bahaya yang menanti kalau mereka berhenti di bahu
jalan. Manalah tahu kalau-kalau ada pokok yang tumbang atau sekah lalu menimpa
kereta mereka. Lalu apa akan terjadi?
Dia membelingas pula ke arah tanah berbukit di sebelah
kirinya. Kerisauan semakin menerbak ke ruang hati. Bagaimana kalau tiba-tiba
berlaku tanah runtuh lalu menghempap kereta tua yang mereka sekeluarga naiki?
Ya, ALLAH... KAU jauhkanlah aku dan keluargaku daripada
malapetaka, doanya dalam hati.
Tiba-tiba, muncul kelibat satu lembaga terhoyong-hayang
melintas betul-betul di hadapan kereta mereka. Encik Kamal terkejut lalu segera
memijak brek. Brek yang dipijak mengejut di atas jalanraya yang licin
membuatkan Toyota Corona merah mendecit kuat, tersasar ke laluan kanan lalu
menghala ke tebing bukit.
Puan Zanariah dan Nur Ain menjerit. Langsing! (Tamat Prolog 1)
Selain daripada tu, kenapa
aku nak menulis Sayonara Cinta?
Beberapa ketika dahulu, kita sering disogokkan dengan berita
tentang pesakit mental/jiwa. Aku cukup terkesan tatkala membaca sebuah berita
di akhbar bagaimana seorang suami(pesakit mental) tega membunuh isterinya
sendiri dan mencederakan anak perempuannya. Sedih betul aku bila baca berita
tu! Bayangkan azab yang ditanggung si isteri didera dan ditetak suami sendiri
sampai mati.
Aku juga terbaca yang si isteri ni pernah minta cerai
daripada suaminya kerana tak tertahan dengan sikap panas baran suaminya yang
sakit mental tu, tapi Jabatan Agama seolah-olah sengaja melambatkan proses
perceraian tu. Dengan alasan... bersabar, suami sedang menderita sakit.
Kesudahannya?
Aku bukannya skeptikal terhadap orang yang menderita
sakit begini, tapi dalam Sayonara Cinta aku ingin memaparkan tentang risiko
yang dihadapi oleh individu yang pasangannya menderita sakit mental. Untuk
menyiapkan novel ni aku terpaksa membuat sedikit rujukan tentang penyakit ni di
akhbar-akhbar dan juga internet.
Sakit mental(skizofrenia) adalah penyakit keturunan.
Walaupun Allah yang menentukan segalanya,
tetapi mengikut kajian perubatan kalau dalam sesebuah keluarga itu, ibu atau
ayahnya mengidap sakit mental kemunginan besar zuriatnya juga akan mengidap
penyakit yang serupa.
Lebih-lebih lagi, pengidap sakit mental seperti juga
pengidap penyakit darah tinggi yang terpaksa bergantung kepada bekalan
ubat-ubatan seumur hidup(kecuali Allah memang nak sembuhkan si pesakit). Macam
berita dalam akhbar di mana si suami sanggup membunuh isterinya tu, dikatakan
yang dia berada dalam keadaan tertekan setelah kehabisan ubatnya.
Dalam Sayonara Cinta ni, aku memaparkan watak Ezra,
seorang gadis muda lagi cantik tapi dibelenggu penyakit skizofrenia. Ezra
terpaksa sentiasa mengambil ubat sehinggakan dia jadi bosan dengan rutin
hariannya itu.
Penyakitnya kembali menyerang setelah dia sengaja
mengabaikan pengambilan ubat-ubatannya. Dia juga tertekan kerana perhatian
suaminya telah beralih ke arah ‘madunya’ Julia, yang sedang hamil. Sebenarnya,
Ezra sendiri yang meminang Julia untuk suaminya, dengan harapan agar suaminya
dapat memiliki zuriat yang sihat dengan Julia. Ezra enggan mengandung kerana
khuatir anak yang dikandungnya kelak akan mewarisi penyakit yang dideritainya.
Sadiskan? Hmmm... sedih jugaklah dengan nasib si Ezra ni! (Kalau nak baca
kesudahannya; dapatkanlah novel SAYONARA CINTA, terbitan Grup Buku Karangkraf
(Buku Prima) ini ya.
Novel ni jugak berjaya menarik minat producer dan kalau
tak ada aral melintang pukang, akan ditayangkan di RTM1(tarikh tak pasti lagi).
Cara nak mendapatkan novel ni: http://mall.karangkraf.com