CERPEN:
TIDAKKAH KAU KASIHAN
PENULIS: SITI ROZILAH
SIAPA kata dia tidak faham? Siapa kata dia masih lagi
belum mengerti? Siapa kata? Walaupun dia masih lagi seorang budak, tapi dia
sudah lama faham, sudah lama juga mengerti. Dia faham dan mengerti bahawa
hidupnya tidak seperti budak-budak lain seusia dengannya. Yang dimanjakan oleh
papa dan mama mereka. Yang sentiasa merengek-rengek supaya dibawa papa dan mama
bersiar-siar ke taman permainan ataupun ke restoran makanan segera setiap kali
tibanya hujung minggu. Yang akan merengek-rengek supaya dibelikan patung
beruang, permainan legos ataupun baju baru. Yang sentiasa saja tahu bilakah
masanya papa dan mama bercuti supaya mereka sekeluarga boleh berseronok-seronok
di tepi pantai, di taman tema atau ke Cameron Highlands. Atau, ke Genting.
Dia mengerti bahawa dia tidak berpeluang untuk menikmati
hidup sepertimana yang dinikmati oleh kanak-kanak itu. Yang bertuah kerana
memiliki sebuah keluarga sempurna. Yang bernasib baik kerana ada papa dan mama
yang sentiasa memanja, memberikan kasih sayang serta berkhidmat untuk mereka.
Sedangkan dia hanyalah anak gelandangan. Yang hidupnya
merempat, berpindah-randah tak ubahnya seperti puak Nomad di Sahara. Yang
menumpang tidur di kaki-kali lima kedai atau bangunan beralaskan sleeping bag usang, berbumbungkan langit
malam di sebuah kota kaya bernama Kuala Lumpur.
Harfiahnya dia juga seperti budak-budak itu, mempunyai
keinginan untuk memeluk patung beruang ataupun memiliki permainan legos tapi
dia tidak bernasib baik seperti mereka. Pernah sekali dia merengek-rengek di
depan ibunya kerana ingin memiliki sebuah permainan robot ketika mereka
melintasi sebuah kedai yang menjual bermacam-macam permainan tapi taktiknya itu
hanya menaikkan darah ibunya. Pipinya yang masih kecil itu ditempeleng beberapa
kali hingga menyebabkan gigi susunya yang sudah longgar tercabut lalu tercampak
ke tanah. Melihatkan gigi yang tercampak dan mulutnya yang meleleh dengan darah
itu barulah ibunya berhenti menempeleng pipinya. Insiden yang teruk itu berupa
pengajaran pada dirinya. Bahawa dia tidak boleh meminta apa-apapun walau dia
berkeinginan untuk memilikinya. Bahawa dia patut bersyukur dengan apa yang
dihulurkan oleh ibunya. Setakat ini dia tidak pernah dibiarkan tidur dengan perut
yang lapar. Setakat ini dia tidak pernah berkeliaran di kota kaya itu dengan
tubuh tanpa seurat benang. Dan, dia harus bersyukur untuk itu!
Dia juga tahu bahawa ada ramai jutawan dan hartawan di
kota kaya itu. Mobil-mobil mewah jenama dalam mahupun luar negara yang hilir
mudik sebaik-baik saja dia celik mata setiap pagi itulah buktinya.
Bangunan-bangunan pencakar langit yang menjulang tinggi, yang berdiri megah di
sekelilingnya itulah buktinya – bahawa Kuala Lumpur sebenarnya kota kaya. Kuala
Lumpur milik orang-orang kaya.
Sedangkan dia, ibunya serta jiran tetangganya yang hanya
dilihat wajah-wajah lesu mereka ketika senja mula berlabuh itu mungkin ibarat
lumpur saja di mata mereka. Yang masam lekit, menjijikkan. Yang selayaknya
dipinggirkan. Yang lebih baik tiada daripada ada!
Malam itu seperti juga malam tadi dan beberapa malam
lalu, dia bersama ibunya menghampar sleeping
bag di depan sebuah restoran yang sudah tutup operasi sejak pukul 6.30
petang tadi. Badannya segar setelah mandi dan menukar pakaian di sebuah tandas
awam. Perutnya juga sudah kenyang. Kini, tibalah masanya untuk melelapkan mata
sementara menunggu pagi tiba.
Dia mendengar saja ibunya bercerita dengan kawan baiknya,
juga gelandangan seperti mereka. Masing-masing menguntai cerita tentang
pengalaman yang singgah dalam hidup mereka untuk hari itu.
“Tadi masa aku berpeluang serve pelanggan, aku bertentang mata dengan seorang balak handsome ni. Kalaulah balak tu jadi boyfriend aku alangkah bahagianya. Kalau
dia datang lagi esok, aku nak kenyit-kenyit mata dengan dia.” Ibunya yang duduk
berlunjur kaki sambil menopang dagu itu menganyam angan-angan yang cukup indah.
Seulas senyum terlarik di bibir ibunya.
Tapi kata-kata ibunya itu disambut oleh gelak ketawa
kawan baiknya.
“Jangan nak beranganlah, Intan. Nanti kau jugak yang
kecewa. Nak ke dia orang tu dengan kau? Sedar sikit siapa diri kau tu, Intan.
Orang macam kita ni umpama langau aje di mata dia orang tu. Dia orang tu takkan
pandang orang macam kita nipun.”
Bukan kata-kata semangat yang keluar dari mulut kawan
baik ibunya itu sebaliknya bibir yang terjuih-juih serta seraut ungkapan yang
pedih. Tapi apa yang nak dipedihkan dengan ungkapan itu? Inilah kenyataan yang
perlu mereka hadapi. Mereka bukannya sesiapapun di kota kaya itu. Mereka umpama
seekor langau yang seharusnya dihalau pergi.
“Kau jangan gelakkan aku, Bedah. Esok... kalau aku
berpeluang layan customer tu lagi aku
akan pastikan...”
“Dahlah tu Intan. Aku dah mengantuk ni. Aku tidur dululah
ya. Malam esok ajelah kau sambung cerita kau tentang balak handsome tu. Tupun kalau kau berpeluang layan customer lagi. Entah-entah esok kau terperuk aje kat dapur, cuci
pinggan mangkuk kotor tu!” Begitulah kata-kata seorang kawan yang tega memperlekehkan
impian kawan baiknya sendiri.
Di bawah limpahan cahaya neon itu, dia nampak wajah
ibunya diulit sedih. Tapi dia tidak berasa apa-apa. Tiada rasa kasihan terhadap
ibunya yang diketawakan kerana menyimpan impian yang muluk-muluk itu. Kerana
hakikatnya, langau seperti mereka seharusnya tidak menyimpan apa-apa impian
pun. Kerana tega menyimpan impian hanya menambah beban kecewa di sudut hati.
Dapat terus bernafas di tengah-tengah kota kaya inipun
sudah cukup baik. Selayaknya seekor langau yang harus bersyukur kerana masih
mampu terbang bebas.
“Apa kau pandang-pandang?” Sergahan ibunya itu membuatkan
dia segera berpaling ke arah lain. Sudah tentu dia tidak mahu menaikkan darah
ibunya. Kalau darah ibunya naik maka nahaslah dia.
Dia faham, tekanan hidup sehari-harianlah yang bikin
ibunya bersikap kasar dengannya. Bukan ibu sengaja hendak marah-marah ataupun
memukulnya. Sebaliknya keadaanlah yang telah memukul mereka dua beranak
terlebih dahulu. Kalau ibu tidak sayangkan dirinya, masakan dia masih boleh bernafas
sehingga kini? Kalau ibu bencikan dirinya, masakan setiap hari ibu akan
mempastikan dia tidur dengan perut yang kenyang?
Mungkin ibu sengaja mendidiknya secara kasar supaya dia
tidak membesar sebagai seorang yang manja. Kerana ‘seekor langau’ yang manja
mustahil boleh hidup di kota kaya itu, mustahil!
Dia masih ingat lagi beberapa bulan lalu ketika dia dan
ibunya masih ada tempat tinggal yang selesa. Sebuah hostel yang harus dibayar
sewanya mengikut kiraan hari menyewa. Waktu itu mereka tidak perlu menjadi
seperti kaum Nomad yang terpaksa berpindah-randah seperti sekarang. Tapi kerana
sewa yang sering tidak berbayar, mereka akhirnya dihalau keluar oleh pemilik
hostel itu.
Beberapa hari lalu, ibunya mengambil keputusan untuk
tinggal di kaki lima restoran tempat dia bekerja sebagai pencuci pinggan. Dia
hanya mengikut saja arah yang dituju ibunya. Dia juga tidak tahu sampai bilakah
mereka akan tidur di kaki lima restoran itu. Tapi dia pernah dengar ibunya
berkata yang majikannya hendak mencari sebuah rumah yang sesuai untuk mereka
tinggal. Dan itu adalah antara impian ibunya. Sementara menunggu rumah yang sesuai,
dia dan ibunya perlu terus tidur di kaki lima restoran itu untuk semalam lagi.
Tiba-tiba dia terlihat kelibat seorang lelaki India yang
berambut kusut masai serta berpakaian cobak-cabik sedang sibuk menyelongkar
tong sampah. Selalu dia nampak lelaki itu berkeliaran berhampiran dengan tempat
tidurnya. Walaupun dia gerun dengan penampilan lelaki itu tapi dia pasti
dirinya dan ibunya tidak akan diapa-apakan. Lelaki itu sama juga seperti
mereka, langau yang leka dengan dunianya sendiri. Dia nampak lelaki itu
mengeluarkan seketul tulang ayam dan masih ada cebis-cebis daging lalu
menyuakan ke mulutnya tanpa ada rasa jijik.
Dia menarik nafas panjang. Sekurang-kurangnya, dia dan
ibunya tidak perlu menyeluk tong sampah mencari sisa-sisa makanan yang terbuang
untuk mengisi perut yang kelaparan. Akhirnya dia terlena juga. Angin malam
terus bertiup resah membawa sama seribu satu macam cerita.
WALAU pagi masih awal, mobil-mobil sudah mula menghidupkan
suasana. Dalam sekejapan waktu lagi kota kaya itu akan meriah dengan kereta,
bas serta motosikal. Tidak ketinggalan juga dengan bunyi LRT yang bergemuruh. Ianya
adalah muzik yang dinanti-nantikan warga kota kaya.
“Intan!” Satu suara garau kedengaran memanggil nama
ibunya sebaik saja pintu belakang restoran terkuak.
“Oiii!”
“Kau dah bangun ke?”
Ibunya menarik zip sleeping
bagnya lalu terus duduk. Sempat dia menggeliat malas.
“Sekarang dah!”
“Kau dengan anak kau boleh gunakan bilik air kat sini.”
Itulah pelawaan pemilik restoran yang bernama Encik Ali kepada dia dan ibunya
awal pagi itu. Sudah tentulah pelawaan itu disambut ibunya dengan senang hati.
Seusai membersihkan diri, dia duduk mengadap sebuah meja
kecil yang terletak di dapur restoran itu. Dia lihat saja ibunya membantu Mak
Cik Maimon, ketua tukang masak di situ.
“Kau tak kesian ke dengan Azeem, Intan? Budak-budak lain
sebaya dia semuanya dah pergi ke sekolah. Macam mana masa depan Azeem nanti
kalau tak tahu membaca dan menulis? Takkan kau nak lihat anak kau tinggal kat
tepi jalan seumur hidup?” Dalam sibuk-sibuk memasak, Mak Cik Maimon sempat
berceramah kepada ibunya.
“Nak buat macam mana, Kak Mon? Saya bukannya ada duit nak
hantar dia ke sekolah. Ah, tak apalah dulu. Bila umur dia dah tujuh tahun
nanti, saya hantarlah dia ke sekolah. Buat masa ni tak payahlah dulu.” Ibunya
menjawab.
“Hmm... suka hati engkaulah. Azeem tu anak engkau. Aku
nak menolong pun, tak mampu.”
Dia nampak ibunya memandang lurus ke wajahnya. Agak lama.
Dia tidak tahu apa yang sedang berada dalam fikiran ibunya ketika itu.
“Aku tengok Azeem tu pandai cari duit walaupun umurnya
masih rendah. Anak-anak aku kat rumah tu, hmmmph... kasut sekolah pun
kadang-kadang malas dia orang nak cuci selagi mulut aku ni tak membebel. Kau
beruntung, Intan, dapat anak macam dia.” Panjang pula omelan Mak Cik Maimon
awal pagi itu.
Matanya bersabung lagi dengan mata ibunya.
“Apa kau pandang-pandang?” sergahan ibunya menyapa ke
telinga. Dia tunduk merenung meja.
“Yang kau tengking dia tak pasal-pasal tu, kenapa?
Bagilah dia sarapan dulu. Ni hah, bagi ayam goreng dan nasi lemak tu kat anak
kau.” Kata Mak Cik Maimon.
Pagi itu, dia bersarapan nasi lemak, sambal bilis yang
enak, seketul ayam goreng serta segelas air Milo. Dia melangkah keluar dari
perut restoran itu dengan perut yang kenyang.
Sepasang kaki kecilnya melangkah pantas ke tempat yang
letaknya tidak berapa jauh dari restoran ibunya bekerja. Tempat itu masih
lengang. Dia menunggu ketibaan lelaki yang dipanggilnya Pak Cik Amid itu dengan
sabar. Tidak lama kemudian, dia nampak Pak Cik Amid melangkah menghampirinya.
Pak Cik Amid adalah seorang tukang kasut. Kerjanya adalah
membaiki dan menampal kasut-kasut rosak yang dihantar padanya. Sementara itu,
dia pula diberikan tugas untuk menggilap kasut-kasut para pelanggan. Kata Pak
Cik Amid, pelanggannya sekarang tidaklah seramai dahulu lagi.
“Azeem, kalau kau rajin cubalah cari pelanggan kat depan
bangunan pejabat tu. Kat situ ramai eksekutif. Mereka ni nak kasut mereka tu
berkilat selalu.” Cadang Pak Cik Amid apabila melihat tiada seorang pun yang
tampil untuk menggilap kasut mereka hari itu.
Azeem menurut saja. Dia letakkan alat-alat menggilap
kasutnya di depan bangunan itu. Dia berjaya menggilap kasut seorang lelaki muda
sebelum dihalau pergi oleh pengawal keselamatan bangunan itu. Dia kemudiannya
menuju pula ke sebuah restoran dan curi-curi duduk di tepi kaki lima restoran
dengan peralatan menggilap kasut terletak di depannya, berharap agar ada
rezekinya di situ.
Restoran itu meriah dengan pelanggan yang keluar masuk
tapi tiada seorang pun yang sudi singgah untuk digilap kasutnya.
“Dia tu penulis hebat. Dah tentulah kaya orangnya, hasil
jualan buku-bukunya aje tak habis makan. Untungkan kalau berbakat macam dia
tu!” Kata-kata seorang perempuan yang berdiri agak hampir dengannya membuatkan
dia tertoleh-toleh.
Dia ingin benar melihat orang yang sedang diperkatakan
perempuan itu. Penulis kaya lagi hebat yang hidup dengan hasil jualan
buku-bukunya. Wajarkah ‘langau’ sepertinya memasang angan-angan untuk jadi
seperti orang yang sedang diperkatakan perempuan itu?
“Yup, betul kata kau tu! Buku-bukunya banyak tentang motivasi,
humanity... kemanusiaan. Dia seorang
penulis yang sangat-sangat berjaya serta disegani. Cemburunya aku.” Sampuk
temannya pula.
Matanya dihalakan dengan agak lama ke arah manusia hebat
yang diperkatakan oleh perempuan-perempuan tadi. Wajahnya nampak lembut, bisik
hatinya. Dan, dia orang kaya. Pasti dia tak kisah menghulur beberapa ringgit untukku.
Tak salah mencuba, gesa hatinya lagi.
Dia membawa peralatan menggilap kasutnya menghampiri
lelaki yang dimaksudkan. Sebaik-baik saja dia hampir, mata lelaki itu merenung
tepat ke wajahnya.
“Nak apa?”
“Err... encik nak kilatkan kasut tak?”
“Hey budak, kau tak nampak ke kasut aku ni dah cukup
berkilat?” kata penulis hebat itu. “Eh, yang kau ni merayau ke sana sini ni, kau
tak sekolah ke?”
Dia menggeleng. “Betul ke encik tak nak kilat kasut?”
“Budak, kau tak faham ke apa aku cakap tadi, hah? Kasut
aku ni, mahal tau. Aku takut nanti bukan kau kilatkan kasut aku ni, tapi
calarkan kasut aku pulak.” Kemudian penulis buku-buku kemanusiaan itu memandang
wajah kawannya seolah-olah hendak meneruskan perbualan mereka.
“Tolonglah, encik. Saya orang miskin. Mintak sedekah,
encik.” Dia mencuba nasib lagi.
“La... tadi datang nak gilap kasut, sekarang nak mintak
sedekah pulak, dah? Hey budak, aku beri sedekah kat masjid, kat surau... kat
rumah anak-anak yatim aje, tau tak? Tak boleh suka-suka hati hulur sedekah pada
orang macam kau ni. Entah-entah kau ni dipaksa sindiket merayau-rayau untuk
mintak sedekah.” Penulis itu menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tak... aku tak
mahu terlibat! Dah... pergi! Pergi!!”
Dia tahu tiada gunanya lagi terus merayu-rayu kepada
orang itu kerana dia tidak akan mendapat satu sen pun daripadanya. Dia terus
menghala pulang, mencari ibunya.
“Azeem!”
Dia terpinga-pinga apabila tubuhnya yang tidak pernah
dipeluk itu tiba-tiba dirangkul dengan erat oleh ibunya. Apa halnya ni? Matanya
beralih pula ke arah Mak Cik Maimon dan Abang Jaafar yang turut memandangnya.
“Kau jangan pergi jauh-jauh. Duduk aje kat belakang ni.”
Perintah ibunya itu tidak boleh diengkari. Kalau dia engkar, nahaslah jawabnya.
“Kau jangan pergi mana-mana tau, Azeem. Bahaya! Sekarang
ni ramai orang sakit jiwa. Malam tadi ada seorang budak perempuan dah dilarikan
masa emaknya pergi ke tandas. Putus lehernya dikerjakan orang tu nun kat tepi
sungai sana tu!” Mak Cik Maimon yang becok itu beria-iya bercerita sambil jari
telunjuknya dituding-tudingkan ke satu arah.
Dia hanya mengangguk bagai burung belatuk. Kesempatan itu
digunakannya untuk mengintai kelakuan pelanggan-pelanggan restoran. Matanya
tertancap pada seorang lelaki yang sedang meladeni dua orang anaknya. Amat
mesra sekali. Ralit dia merenung mereka.
Ayah! Ayah!!
Panggilan ‘ayah’ yang terkeluar dari bibir anak-anak
lelaki itu sesekali hinggap ke telinganya. Dia tahu yang dia mempunyai seorang
ayah. Tanpa ayah masakan mungkin dia berada di dunia ini. Tapi seumur hidupnya,
dia tidak pernah melihat wajah ayahnya. Dia hanya mengenali ibunya.
“Encik Ali dah janji nak carikan rumah sewa untuk saya!”
suara ibunya memancung perhatian.
“Aku sedang berusaha cari rumah yang murah untuk kaulah
ni. Kau boleh sabar sikit tak?” Kasar suara Encik Ali. “Kalau bini aku tu tak
garang macam singa, bila-bila aje aku boleh bawak kau tinggal kat rumah aku.”
“Eh, miang!” Ibunya menjerit.
“Encik Ali penakut bini!” Mak Cik Maimon menyampuk.
“Mana ada saya ni penakut bini, Kak Mon? Saya sayang bini
aje.” Encik Ali membela dirinya. “Intan, kau bagi aku masa sehari dua lagi,
ya.” Kata Encik Ali seolah-olah berjanji.
MALAM yang meresahkan menyapa lagi.
Ketika berada di dalam sleeping bagnya, dia terdengar ibu asyik bercerita dengan kawan
baiknya tentang peristiwa pembunuhan ngeri yang berlaku malam tadi. Budak
perempuan itu dan ibunya adalah juga manusia gelandangan seperti mereka.
“Aku betul-betul berharap supaya cepatlah Encik Ali
sewakan rumah yang sesuai untuk kami. Aku dah tak larat hidup berpindah-randah
macam ni lagi.” Lirih suara ibunya.
“Kalau majikan kau dah sediakan rumah nanti, macam mana
dengan aku ni, Intan? Kau nak tinggalkan aku sorang-sorang kat sini ke?”
“Ala Bedah, kau janganlah risau. Nanti aku cuba pujuk
Encik Ali supaya benarkan kau tinggal sekali kat rumah tu. Takkan aku nak
tinggalkan kawan baik aku pulak.” Ibunya mengukir janji.
Ketika matanya hampir terlena itulah tiba-tiba suasana
berubah menjadi kecoh. Jeritan ‘Lari! Lari!!!” mengganggu keharmonian malam di
perkampungan gelandangan itu.
“Azeem, bangun! Bangun!!!” Ibunya bertempik.
Dalam keadaan yang terpisat-pisat, masih mamai dan tidak
pasti apa yang sedang berlaku, dia mencapai tangan ibunya. Bukan dia dan ibunya
saja tapi semua jiran-jirannya turut melarikan diri bagai tidak cukup tanah.
Lintang-pukang, simpang-perenang.
“Berhenti! Berhenti!!!” tempik manusia yang mengejar
mereka.
Mendengarkan tempikan di belakang mereka itu, langkah
ibunya semakin luas. Dek usianya yang masih kecil, masakan mungkin dia
menyaingi langkah ibunya. Dia rasa tangannya telah mula sakit disentap-sentap
ibunya yang berlari laju. Akhirnya dia tidak mampu menanggung kesakitan itu
lagi lalu melepaskan tangan ibunya dan jatuh tertiarap ke tanah.
Ibunya yang sudah terlajak ke depan, terhenti seketika
lalu berpaling ke arahnya. Mereka bersabung pandang untuk beberapa saat.
Kemudian, dia lihat ibunya meneruskan langkah yang tadinya terhenti. Dia hanya
memandang ibunya berlari pergi... semakin jauh meninggalkan dirinya.
Tiba-tiba dia rasa sebak. Yang paling sedih ialah apabila
melihat orang yang kita sayang melangkah pergi, melebarkan jarak dengan kita
hingga akhirnya hanya meninggalkan ruang kosong serta kesepian.
“Kat sini ada seorang budak!” satu suara garau kedengaran
begitu hampir dengannya. “Jangan nangis! Kami datang ni nak selamatkan kau.”
Bukan dia saja yang gagal melarikan diri dari operasi
yang dilakukan oleh anggota polis, RELA serta orang Jabatan Kebajikan malam itu.
Ramai lagi yang senasib dengannya. Lelaki India yang kusut masai, yang mencari
makanan dengan menyelongkar tong sampah itu juga turut tertangkap. Mereka
dikumpulkan dan diangkut dengan beberapa buah van ke satu destinasi yang tidak
diketahui.
Dia pasrah dengan nasibnya. Sepanjang perjalanan, dia
hanya membayangkan renungan ibunya sejurus sebelum menghambur meninggalkannya
di lorong yang kelam itu tadi.
DIA ditempatkan di sebuah pusat perlindungan sementara. Di
situ, segala keperluannya disediakan. Dia mendapat pakaian yang bersih serta
tempat tidur yang sempurna. Dia tidak lagi perlu hidup berpindah-randah seperti
puak Nomad. Makanan yang enak juga turut disajikan bila sampai waktunya. Tapi
dia tetap tidak gembira.
Pagi itu, ramai orang datang melawatnya. Mereka mengambil
gambar serta bertanyakan bermacam-macam soalan padanya. Tiba-tiba matanya
tertancap pada seorang lelaki yang dikenalinya. Ya, penulis buku-buku
kemanusiaan itu!
“Anak ni namanya Muhammad Azeem bin Abdullah. Usianya
lima tahun lima bulan. Ibunya sempat lari masa kami buat operasi tu. Sampai
sekarang kami masih belum berjaya menjejakinya.” Terang pegawai kebajikan itu.
Penulis yang kepalanya hampir botak mungkin kerana
terlalu banyak memikirkan tentang konflik kemanusiaan dan bagaimanakah cara-cara
untuk mengatasinya itu hanya merenungnya sambil terangguk-angguk.
Dia pasti penulis berprinsip yang enggan menghulur walau
satu senpun ke arahnya itu masih mengingatinya.
“Ayahnya?”
Pegawai itu menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Pihak kami tak dapat sebarang maklumat tentang ayahnya
selagi ibunya masih belum ditemui.” Kata-kata pegawai itu membuatkan dia tunduk
merenung lantai.
Dia terbayang lagi pada renungan yang dilemparkan ibunya
sebelum menghambur meninggalkannya sendirian di lorong kelam itu beberapa malam
lalu. Mampukah dia menatap lagi renungannya itu? Atau, apakah itu renungan
terakhir daripada ibunya untuk dia?
Keesokan harinya pula, dia menerima kunjungan seorang
tetamu yang dikenalinya. Orang itu tak lain dan tak bukan adalah Pak Cik Amid,
si tukang kasut. Mereka tidak banyak berbual. Lebih senang untuk berdiam diri
dan mengunyah saja keperitan hidup di saat-saat begitu.
“Baguslah kau dah diselamatkan orang kebajikan tu, Azeem.
Dulu hidup kau merempat, tak tentu hala. Tidur pun kat kaki lima bangunan.
Sekarang kau dah ada tempat tinggal yang selesa. Makan pakai kau pun terjaga.
Tak lama lagi pasti kau akan dapat ke sekolah.” Begitulah kata-kata Pak Cik
Amid ke arahnya seolah-olah hendak memujuk hatinya.
Dan, sebelum berlalu meninggalkannya, Pak Cik Amid siap
menghulur permainan robot untuknya. Dia menyambut pemberian itu. Tapi entah
kenapa hatinya tetap tidak gembira.
Dia menanti. Dan terus menanti. Penantiannya semakin
berpanjangan.
Apa yang tidak dapat dilupakan tentang ibunya adalah
renungannya yang dalam lagi panjang di malam yang kelam itu. Renungan ibunya
itulah yang menemani penantiannya. Tapi lama kelamaan, baik wajah mahupun
renungan itu sudah mula kabur dari ruang ingatannya.
Akhirnya, ketika dia menutup mata pada suatu malam lebih
kurang dua tahun selepas itu, wajah ibunya yang sudah semakin kabur dari ruang
ingatan tiba-tiba menjelma dengan begitu jelas sekali. Ibunya berdiri sambil
merenungnya dengan agak lama. Kemudian ibunya berpaling lalu melangkah pergi,
melebarkan jarak dengannya. Ibunya menjauh... dan semakin menjauh.
Ibunya pergi dan tidak muncul-muncul lagi.
PEREMPUAN bertubuh kurus bernama Intan Amanina itu
mengalirkan air matanya di depan sebuah pusara. Memang dia bersalah kerana
telah meninggalkanAzeem yang terjatuh ketika mereka sedang lari lintang pukang
malam itu. Tapi dia sendiri panik. Dia tidak tahu apa yang akan terjadi
sekiranya dia turut tertangkap sama. Apakah dia akan dipenjarakan kelak? Ketika
itu, dia hanya memikirkan keselamatan dirinya saja.
Dia tidak tahu ke mana mereka telah membawa Azeem serta
gelandangan lain yang turut tertangkap malam itu. Dia takut hendak tampil
bertanyakan ke manakah anaknya dibawa pergi. Kemudian, setelah dia berfikir
dengan agak panjang, dia rasa lebih baik Azeem ditinggalkan saja dengan mereka.
Pasti pegawai-pegawai itu tidak akan mengabaikan kebajikan anaknya. Kan namanya
pun pegawai kebajikan?
Dia meneruskan hidupnya yang kucar-kacir itu. Suatu hari
dia telah diperkenalkan dengan seorang perempuan Melayu yang dipanggilnya Kak
Mar. Kak Mar cukup baik padanya. Kak Mar bukan saja telah menabur kasih sayang
dan menyediakan tempat tinggal yang selesa tapi turut memberinya wang belanja.
Kak Mar telah berjanji untuk mencarikan kerja untuknya. Kata Kak Mar, kerjanya
senang saja tapi bergaji lumayan. Dia juga berpeluang melancong ke luar negara.
Suatu hari Kak Mar membawanya bertemu dengan seorang
lelaki. Kata Kak Mar, lelaki itu kekasihnya. Dia pelik juga apabila melihat
perempuan Melayu seperti Kak Mar menjalinkan hubungan dengan pemuda Negro.
“Ni kerja pertama kau, Intan. Kau kena lakukan dengan
baik. Lepas aje kerja kau selesai nanti, poket kau akan kembung. Nanti bolehlah
kau cari anak kau.” Begitulah kata-kata semangat yang dititipkan Kak Mar
padanya.
Kak Mar dan teman lelakinya menerangkan dengan terperinci
apa yang perlu dilakukannya ketika sampai di Tokyo nanti. Segala kelengkapannya
untuk ke negara Matahari terbit itu disediakan Kak Mar. Dia hanya perlu menarik
bagasinya saja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Narita, Jepun.
Selepas melepasi pemeriksaan pihak imigresen, dia perlu
daftar masuk ke hotel Toyoko Inn Narita Kuko yang terletak lebih kurang dua
kilometer dari lapangan terbang dan akan ada orang yang menelefonnya dari situ.
Dia hanya perlu menyerahkan barang yang dipinta orang itu dan kerjanya di Jepun
telah selesai. Dia boleh menikmati percutiannya sebelum terbang pulang semula
ke Malaysia. Yup, kerjanya kedengaran semudah ABC!
Dalam berdebar-debar untuk melaksanakan misi pertamanya,
dia juga teruja kerana dapat melancong ke negara Matahari Terbit itu. Alangkah
bagus kalau Azeem turut berada bersamanya di dalam pesawat? Bolehlah mereka
menikmati keindahan kembang sakura yang menjadi lambang kebanggan orang-orang
Jepun itu.
Tak apa Azeem, ibu akan ambil kau semula dari jagaan
mereka setelah kerja ibu di Jepun ini selesai nanti. Selepas itu, kita tak akan
berpisah lagi. Ibu janji dengan kau, Azeem. Ibu janji!
Malang sekali, dia hanya sempat menjejakkan kakinya di
Lapangan Terbang Antrabangsa Narita saja. Dia tidak daftar masuk ke Toyoko Inn
Narita Kuko. Malah, dia langsung tidak berkesempatan melihat kembang sakura
walau telah sampai ke negara Jepun. Dia ditahan oleh pihak berkuasa kerana
berkelakuan agak pelik sewaktu melalui pintu pemeriksaan. Apa yang dikhuatiri
mereka itu benar belaka. Setelah diperiksa, terdapat beberapa bungkusan yang
penuh berisi pil-pil khayal tersembunyi di bahagian bawah salah sebuah begnya.
Dia menerangkan kepada pegawai-pegawai yang menahannya
itu bahawa dia langsung tidak tahu menahu tentang pil-pil khayal yang
mengekorinya hingga ke Jepun itu. Yang dia tahu ialah dia hanya membawa
beberapa pasang pakaian yang diperbuat daripada sutera sahaja. Tapi siapakah
yang hendak mempercayai ceritanya ketika itu? Dia mengubah taktiknya. Dia
menangis dan meraung-raung pula, mengharap simpati mereka. Tapi siapakah yang
termakan simpati dengan nasibnya yang malang itu?
Di saat-saat begitu, tiada sesiapapun yang kasihan. Dia
adalah langau yang jijik lagi kotor. Siapakah yang hendak mengasihani seekor
langau? Dia membayangkan wajah Azeem, langau kecil yang ditinggalkannya di
lorong yang kelam pada suatu malam ketika pegawai-pegawai kebajikan menyerbu
perkampungan gelandangan yang terletak di kota kaya dahulu.
Air matanya berderai. Bukan dek impian untuk melihat
kembang sakura yang tidak tercapai, bukan. Tapi dia menangis kerana impiannya
untuk bersatu semula dengan Azeem kini telah hancur berkecai. Selama dua tahun
dia merengkuk dalam sebuah penjara di Negara Matahari Terbit itu.
Ketika dibebaskan, orang pertama yang dicarinya ialah
majikan lamanya iaitu Encik Ali. Dari situ dia bertemu semula dengan Pak Cik
Amid. Daripada mulut Pak Cik Amid tahulah dia bahawa ketika ditempatkan di
sebuah rumah anak-anak yatim itu, Azeem telah diserang sejenis virus yang tidak
dikenalpasti. Tiga hari dia diserang demam panas dan cirit-birit. Walaupun
telah dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan tapi takdir Allah mengatasi
segalanya. Azeem meninggal dunia tanpa sempat bertemu mata dengan ibunya
semula.
Inikah kesudahan nasib dua ekor langau? Yang dinafikan
hak untuk menikmati bahagia? Yang sentiasa dihimpit dek keadaan?
Intan Amanina mengelap air matanya. Tiada gunanya
menangis di depan kubur Azeem. Kerana kalau dia menangis pun, Azeem bukannya
boleh bangkit semula. Kepulangannya adalah kepulangan yang terlewat. Tapi dia
juga lega kerana sekurang-kurangnya Azeem tidak perlu menderita lagi.
Sekurang-kurangnya Azeem sudahpun damai di sana.
Dia melangkah meninggalkan pusara yang terletak di
pinggir kota kaya itu sejurus sebelum rembang tengah hari. Dia tahu sebaik saja
dia melangkah keluar dari pintu pagar tanah perkuburan itu nanti, dia tidak
akan menapak lagi ke situ. Dia akan meninggalkan Azeem untuk selama-lamanya di
pusara yang kaku sebagaimana dia pernah meninggalkan Azeem di lorong yang kelam
itu beberapa tahun lalu! – TAMAT-
* makluman: CERPEN INI SUDAH TERSIAR DI MAJALAH DEWAN SASTERA, NOV 2015, DENGAN TAJUK: LANGAU KOTA KAYA.